Hidup Ibarat Roda yang Berputar

Kali ni, mama nak kongsikan antara kata-kata motivasi yang menjadi pegangan mama. Kata-katamotivasi ni penting supaya kita sentiasa bersemangat, sentiasa beringat. Di saat kita jatuh, kita segera bangkit. Di saat kita perlahan, sekuatnya kita bertahan. Di saat kit-a berlari, kita jelas hala tuju kita.

Mungkin kita biasa dengar kata-kata, ”Hidup ibarat roda yang berputar”. Sebenarnya, ni lah gambaran perjalanan kehidupan kita. Adakalanya kita berada di atas, ada ketikanya kita berada di bawah. Selagi roda masih berputar, selagi itulah kehidupan masih diteruskan.

Atas dan Bawah

Saat kita berada di atas, adalah saat di mana Allah kurniakan buat kita nikmat kegembiraan, kesenangan. Saat kita berada di bawah, Allah hadirkan ujian kesedihan, kesempitan. Maka apa pun yang kita rasakan pada saat ini, besederhanalah.

Andai sedang berasa senang, gembira, tidak perlu mencanang semuanya pada dunia. Cukuplah kita bersyukur dengan menzahirkan nikmat yang Allah beri, tetapi tidak berlebih-lebih dalam mempamerkan kesenangan dan kehidupan peribadi.

Andai sedang berasa sempit, sedih, jangan biarkan diri kita terus hanyut dalam rasa kecewa, jangan sesekali berputus asa dari rahmatNya. Cukuplah kita beri ruang masa pada diri kita untuk bersedih, tapi tidak berlebih-lebih hingga lupa pada Allah yang Maha Pengasih.

Syukur dan Sabar

Senang juga ujian, sempit juga ujian. Maka lalui apa jua keadaan kehidupan kita dengan SYUKUR dan SABAR. Selagi kita bersyukur, kesenangan yang kita ada takkan buat kita lupa diri. Selagi kita bersabar, kesempitan yang dilalui akan jadikan kita insan yang kuat. Dengan syukur dan sabar, kita akan sentiasa kembali kepada Allah.

“Kenapa Allah uji aku berat daripada orang lain?”

“Kenapa orang lain mudah sangat hidup mereka?”

Sebenarnya, setiap orang daripada kita ada roda kehidupan masing-masing. Putaran roda kehidupan kita takkan pernah sama. Membandingkan roda kehidupan kita dengan roda kehidupan orang lain pada perspektif yang salah akan jadikan kita hilang rasa SYUKUR dan SABAR.

Yakin dan percaya, ujian Allah buat diri kita, sesuai dengan kemampuan diri kita. Kita harus sedar, Allah tak pernah kejam dalam mengatur kehidupan. Cuma kita yang tak sedar, bahawa dunia sememangnya lapangan ujian.

Ujian yang sementara

Kehidupan di dunia ini sementara. Kesenangan dunia yang kita kecapi juga sementara. Begitu juga dengan kesempitan yang kita lalui, hanyalah sementara. Ajar diri kita untuk sentiasa bersangka baik dengan setiap aturan dan ketetapan daripada Allah.

Jadikan syukur dan sabar sebagai jambatan untuk mengharungi  jatuh bangun di dunia yang sementara ni, agar kita sampai kepada kebahagiaan yang berkekalan di akhirat kelak.

Post a Comment

1 Comments

  1. setiap yang berlaku ada balasan.. yakin tawakal Allah swt tu ada utk setiap apa yang kita buat

    ReplyDelete